Lupa Untuk Bersyukur
9:11 AM
"Apa yang Allah beri pada kita adalah yang terbaik, dari situ kita belajar erti REDHA.
Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin namun kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Life so short, make it sweet my love "
Ini status facebook saya pagi ini. Seringkali diuji namun jika kita lihat disebalik ujian tersebut akan ada satu kemanisan yang Allah mahu berikan.
Sejujurnya balik dari Kembara Jutawan bulan 1 lepas, saya banyak berfikir dan muhasabah diri. Apa yang saya mahu dalam hidup ini? Saya lupa semua di dunia ini hanya ujian semata-mata. Saya LUPA UNTUK BERSYUKUR dengan apa yang saya ada.
Alhamdulillah, saya semakin memahami diri saya dan juga semakin mencintai suami saya. Bukan dulu tidak cinta namun adat hidup berumahtangga, pasti ada turun naiknya. Allah bagi semula perasaan sepertimana mula-mula bercinta. Ya, sungguh indah rasanya. SAYA LUPA UNTUK BERSYUKUR saya ada suami yang menyayangi saya.
Sebulan lepas, saya jumpa sahabat wangi yang diuji Allah namun sangat tabah menghadapi ujian tersebut. Anak sulungnya ditimpa musibah dan walaupun selamat, akibat daripada itu anaknya koma sehingga kini. Saya sudah lupa berapa lama namun seingat saya sudah lebih setahun lamanya anak kesayangan kaku diperbaringan.
Kami tidak pernah berbual hati ke hati mengenai perkara ini. Hari itu Allah bagi pertemuan yang sangat menyentap jiwa dan raga saya betapa SAYA LUPA UNTUK BERSYUKUR. Dia menceritakan pengalaman mereka suami isteri bagaimana sebenarnya kesakitan itu bukan untuk anak mereka namun untuk mereka. Allah bagi supaya mereka sedar kasih sayang yang patut mereka raikan. Allah, terasa meremang bulu roma mengingatkan cerita dia.
Kami jumpa di parking kereta, setelah berpisah kami masuk kereta masing-masing. Saya terus melepaskan rasa hiba yang saya tahan depan dia. Betapa kuatnya dia. Saya tidak sanggup menangis depan dia jadi saya luahkan semua rasa di dalam kereta. Saya nangis teresak-esak hingga terasa sesak dada. Dari ceritanya saya sedar SAYA LUPA UNTUK BERSYUKUR dengan apa yang saya ada. Balik rumah, saya peluk cium suami dan saya bersyukur saya masih berpeluang meluahkan rasa padanya.
Hari ini saya menerima panggilan dari ibu tercinta mohon saya bercuti satu hari pada jumaat ini. Ada urusan perlu diselesaikan di pejabat tanah dan kehadiran saya adalah wajib. Ketika mahu mohon cuti baru saya perasan kesemua bos saya bercuti pada hari tersebut (kami bertiga sahaja dalam satu unit. Untuk bercuti mesti pastikan tinggal sekurang-kurangnya satu orang). Jadi saya berbincang dengan bos besar dan dia dengan rela hati membatalkan cutinya untuk memberi laluan kepada saya.
Saat itu saya sedar SAYA LUPA UNTUK BERSYUKUR. Benar, bekerja makan gaji tidak mempunyai kebebasan masa seperti orang berniaga namun nikmat punya bos yang memahami adalah satu nikmat yang wajib saya syukuri. Terima kasih Allah meletakkan rasa ini untuk saya sedari segala nikmat yang Allah beri.
Nadya, nikmat mana lagi yang kamu dustakan? Tidak mahu bersyukur lagi?
0 comments